Nuffnang Advertisement

Sunday, July 31, 2011

Diet Dibulan Ramadan

Bulan Ramadan kembali lagi.

Bagi anda yang ingin mengurangkan berat badan, ini adalah masa yang terbaik. Ini kerana anda tidak keseorangan dalam menahan lapar. Pastinya semua rakan-rakan yang beragama Islam akan turut berpuasa bersama anda. Tiada godaan untuk sarapan, makan tengahari atau minum petang bersama teman sepejabat. Jadi sebahagian dari cabaran untuk mengurangkan makan sudah dapat diatasi.

Tetapi pastikan juga anda bersederhana selepas mendengar azan maghrib menandakan masuknya waktu berbuka. Janganlah anda terus melupakan matlamat untuk mengurangkan berat badan dengan membedal sahaja apa yang di depan mata. Sememangnya Islam menyarankan kita untuk bersederhana dalam menjamah rezeki.

Ada beberapa syarat yang patut diikuti jika anda ingin memastikan berat anda turun menjelang Syawal ini.
  • Pastikan anda berpuasa cukup 30 hari.
  • Amalkan sembahyang terawikh setiap malam bagi menggantikan aktiviti senaman.
  • Kurangkan pengambilan makanan & minuman yang manis.
  • Kurangkan makanan yang berlemak.
  • Elakkan tidur berlebihan disiang hari.
  • Banyakkan melakukan ibadah.
  • Jangan makan terlalu banyak semasa berbuka puasa.
  • Kurangkan ke pasar ramadan bagi mengelakkan membeli makanan berlebihan.
  • Amalkan kesederhanaan dalam mengambil makanan.
  • Kurangkan mengunjungi buffet-buffet Ramadhan.




365 Tip Sihat Gaya Rasulullah

"Pelajari rahsia dan keajaiban 365 tip kesihatan yang halal, bermanfaat, murah, mudah dan holistik"
Selain dari tip-tip kesihatan dari Barat yang mudah didapati di kebanyakkan kedai buku dan internet, kita juga boleh mempelajari beberapa tip yang diamalkan oleh nabi Muhammad. Kebanyakkan tip ini adalah amat mudah dan boleh dipraktikkan oleh semua orang.

Tip kesihatan ini bukan sahaja menekankan aspek kesihatan fizikal tetapi merangkumi juga aspek rohani, emosi dan sosial. Aspek-aspek ini kadang kala sering diabaikan apabila kita cuma mengejar matlamat fizikal sahaja.

Buku ini ditulis oleh Dr Mohammad Ali Toha. Ia diterbitkan oleh PTS Milenia Sdn Bhd dan maklumat lanjut boleh didapati di,


Travelog Ramadan Al-Mubarak

"Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan kepada pahala (keredhaan) Allah, diampuni dosa-dosanya yang terdahulu"

Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, apa kata anda dapatkan buku Travelog Ramadan Al-Mubarak, Menyingkap Tabir Hamba Dan Pencipta. Buku ini ditulis oleh Syahrul Nizam Junaini, seorang pensyarah kanan di Unimas. Buku ini diterbitkan pada tahun 2011 dibawah label PTS Islamika Sdn Bhd.

Buku ini menyingkap beberapa pengalaman penulis dalam menempuh ibadah puasa. Ia ditulis dalam bahasa yang mudah dan senang difahami oleh setiap golongan pembaca.

Untuk maklumat lanjut bolehlah layari ke laman PTS berikut, http://www.pts.com.my/index.php/buku/travelog-ramadan-menyingkap-tabir-hamba-dan-pencipta/


Saturday, July 23, 2011

Aktiviti Harian Yang Membakar Kalori


Jika anda berhasrat mengurangkan berat badan, tetapi tiada masa untuk bersenam, apakata anda membuat sedikit aktiviti harian di rumah. Berat anda tidak akan turun jika anda malas untuk mengangkat punggung dari sofa. Jika anda mempunyai orang gaji, anda boleh memberi cuti rehat tambahan kepada mereka.

Secara amnya membuat aktiviti ringan seperti membersihkan rumah mampu membakar dalam 300 kalori sejam. Berkebun pula akan membakar lebih kurang 400-500 kalori dalam sejam.

Berikut disenaraikan beberapa aktiviti harian di rumah dan jumlah purata pembakaran kalori dalam sejam.


Untuk mendapatkan lebih banyak aktiviti dan anggaran pembakaran kalori yang lebih tepat berdasarkan berat badan anda, bolehlah menggunakan Activity Burn Calculator.


Sunday, July 17, 2011

Teknologi Nike+ Membantu Anda Berlari


Nike+ (nikeplus) adalah teknologi gabungan antara Nike dan Apple (pengeluar Ipod, Iphone, Ipad dan sebagainya). Pada mula dilancarkan pada tahun 2006 pengguna perlu mempunyai sepasang kasut Nike yang dilengkapi sensor dan Ipod atau Iphone.

Gabungan peralatan ini akan merekodkan segala aktivit larian anda seperti jarak, masa yang diambil, kelajuan dan kalori yang dibakar. Selepas aktiviti larian, anda boleh menghubungkan peralatan Apple anda dengan komputer dan segala data anda akan direkodkan dalam sebuah laman web. Di sini segala rekod anda akan dianalisis dan boleh dikongsi bersama rakan-rakan lain. Laman web ini bertindak seperti portal di mana pengguna lain akan berkongsi pengalaman dan idea baru dalam hobi berlari.

Bermula dari 7 September 2010, Nike telah melancarkan Nike+ GPS Apps di mana pengguna tidak lagi perlu membeli kasut Nike yang khusus, tapi memadai dengan hanya menggunakan Iphone 3G atau Iphone 4.

Jadi sekarang Iphone bukan sahaja membolehkan anda mendengar lagu sambil berlari, tetapi mampu juga menjadi alat untuk membantu anda merekodkan segala data yang berkaitan dengan larian anda.



Inspirasi Berlari Dari Forrest Gump

Jika anda perlukan inspirasi untuk memulakan senaman berlari (jogging), anda boleh menonton klip dari filem Forrest Gump.

Selamat Bersenam.

Pilih Kasut Yang Sesuai Untuk Ber'jogging'

Jika anda ingin memulakan berlari sebagai satu hobi, apakata anda bermula dengan peralatan yang paling asas. Kasut.

Setiap kita mempunyai saiz kaki dan bentuk yang berbeza-beza. Pastikan anda betul-betul memilih kasut yang sesuai dengan kaki anda bagi mengelakkan kecederaan. Jangan hanya menjadikan jenama sebagai kriteria pemilihan, tetapi pastikan anda selesa dengan kasut itu.

Sebagai panduan apa kata anda layari laman web berikut sebelum membuat sebarang pilihan:






Berlari Membakar Kalori

Aktiviti fizikal akan meningkatkan kadar metabolisma dan membakar kalori. Jika dipermulaan kita hanya lakukan senaman dengan berjalan, apa kata anda tingkatkan senaman anda kepada berlari perlahan atau ber'jogging'.

Tetapi janganlah terlampau bercita-cita besar untuk berlari terus 5km. Jika anda seorang yang kurang bersenam, anda harus mulakan dengan jarak yang pendek dahulu. 1km hingga 2km untuk satu sessi sudah memadai. Yang penting anda lakukannya dengan kerap. 3 atau 4 kali seminggu.

Mungkin ada yang bertanya kenapa hanya 1km? Tidak mencabar langsung. Sebenarnya berlari adalah satu senaman yang mempunyai impak yang tinggi. Otot anda akan mudah tercedera jika anda tidak biasa melakukannya. Jika anda membebankan tubuh anda dengan larian yang berat pada permulaan, badan anda akan cepat berasa penat. Ini yang menyebabkan ramai yang akan melupakannya selepas 2-3 kali cubaan.

Anda boleh mula menambah jarak larian setelah tubuh badan anda menyesuaikan diri dengan aktiviti larian ini. Buat catatan setiap kali anda selesai berlari. Ini bagi memastikan anda memilih jarak yang sesuai dengan kemampuan anda. Seeloknya tambah jarak sebanyak 10% setiap kali anda merasakan anda telah bersedia untuk pergi lebih jauh.

Yang penting di sini adalah anda harus menilai dahulu kemampuan fizikal anda sebelum memulakan sebarang aktiviti fizikal seperti berlari.

Jika anda berminat untuk menjadikan larian sebagai hobi apa kata anda layari Pacesetters Athletice Club Malaysia. Laman web ini mempromosikan larian sebagai satu cara hidup sihat.

Saturday, July 16, 2011

Adakah Anda Menggunakan Beg Kitar Semula?

Jangan lupa, hari ini adalah hari Sabtu dan juga hari tanpa beg plastik. Adakah anda mengamalkannya?

Kempen ini telah dimulakan dengan kerjasama beberapa pasaraya besar dan beberapa rangkaian kedai runcit. Jika pengguna masih inginkan beg plastik mereka harus membayar sebanyak RM0.20 dan wang ini akan disalurkan kembali untuk projek alam sekitar.

Ramai juga yang merungut menyatakan bahawa usaha ini akan menyusahkan pengguna. Tapi jika difikirkan kembali usaha sekecil ini sebenarnya adalah satu langkah ke arah masa depan alam sekitar yang lebih bersih.

Bayangkan jika sebuah keluarga setiap kali ke pasaraya akan membawa balik sekurang-kurangnya lima beg plastik. Jika setiap minggu sebuah keluarga itu membeli-belah mereka akan mengumpul 240 helai bag plastik. Dan setiap bag plastik yang dibuang akan mengambil masa beberapa tahun untuk dilupuskan secara semulajadi. Ianya jika dibakar pula akan menghasilkan gas yang turut mencemar udara kita.

Saya sendiri telah memulakan langkah mengurangkan pergantungan kepada beg plastik dengan memastikan beg kitar semula berbagai saiz dan bentuk sedia tersimpan dalam kereta. Bukan sahaja hari Sabtu, malah hari-hari lain juga saya akan cuba untuk memastikan saya sentiasa membawa beg kitar semula ini dan menggunakannya bila perlu.

Semoga anak cucu kita tidak menyalahkan generasi kita kerana mewariskan dunia yang amat tercemar di masa hadapan. Amalkan cara hidup yang bersih.

Sunday, July 10, 2011

Half Year Revisit

Hari ini sudah 10hb Julai 2011. Sudah setengah tahun dilalui. Saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk 'revisit' atau merenung kembali apa yang telah dirancang atau azam di awal tahun 2011. Cuba untuk menilai sejauh mana kita telah mencapai apa yang kita inginkan.

Seperti 'posting' saya sebelum ini, apa kata kita bermeditasi sebentar sebelum mengorak langkah seterusnya dalam mencapai segala impian.

Saya akui saya juga jauh tersasar dari matlamat asal saya. Banyak masa telah dihabiskan tanpa fokus untuk mencapai matlamat. Sudah sampai masanya untuk saya memperbetulkan arah pandu (GPS) saya ke arah yang betul.

Antara matlamat awal saya adalah untuk mempelajari seni 'social media' dan 'social networking'. Sebelum ini saya pernah membuat beberapa blog, tetapi seperti biasa ianya mati ditengah jalan. Minat terhadap sesuatu perkara itu mula hilang. Akhirnya blog itu terbiar begitu sahaja. Alhamdullilah blog saya kali ini berjaya bertahan hampir 6 bulan dengan hampir 40 'posting'. Jumlah pelawat setakat ini adalah dalam 200 unik 'hits'. Saya cuba meletakkan matlamat sehingga akhir tahun ini, sebanyak 100 'posting'. Tidak mustahilkan.

Jadi dalam 6 bulan akan datang ini saya akan cuba menulis lebih banyak topik-topik yang membantu dalam menjadi insan yang lebih baik dari segi kesihatan, gaya hidup dan kerohanian.

Semoga separuh masa ke dua anda lebih hebat dari separuh pertama kerana di sinilah pemenangnya ditentukan.



Sunday, July 3, 2011

Makan Ulam Untuk Sihat

Anda suka makan ulam? Atau ada antara anda yang tak tahu apa itu ulam. Ulam bolehlah diumpamakan seperti ‘salad’ bagi orang Barat. Ulam sebenarnya terdiri daripada berbagai jenis sayur-sayuran mentah, pucuk-pucuk muda dan berbagai tumbuhan lain. Ia boleh dimakan tanpa dimasak dan boleh juga dicelur dengan air panas.

Ulam biasanya akan dimakan dengan nasi dan dicicah dengan berbagai jenis sambal. Antaranya ialah sambal belacan, sambal kelapa dan kuah pecal.

Antara kebaikkan memakan sayur dan ulam secara mentah ialah akan mendapat lebih khasiat berbanding sayur yang dimasak. Proses memasak yang terlalu lama kadang kala akan memusnahkan segala khasiat yang sepatutnya kita dapat. Ramai juga percaya khasiat ulam baik untuk awet muda.

Antara jenis-jenis ulam yang boleh dimakan mentah adalah seperti berikut:

  • Timun
  • Kacang botol
  • Pegaga
  • Ulam Raja
  • Selom
  • Tomato

Antara jenis-jenis ulam yang perlu dicelur dahulu:

  • Kacang panjang (ada juga dimakan mentah)
  • Jantung pisang
  • Pucuk gajus
  • Bendi
  • Pucuk mengkudu

Antara jenis ulam berbentuk buah ialah:

  • Kering
  • Kerdas
  • Petai
  • Genuak


Friday, July 1, 2011

Apa tu LOHAS?

Anda pernah dengar atau ternampak perkataan LOHAS. Mungkin ada yang tertanya-tanya, perkataan bahasa apakah itu? Sebenarnya LOHAS adalah singkatan untuk perkataan Inggeris iaitu 'Lifestyles of Health and Sustainability'.

LOHAS secara amnya bermaksud cara hidup yang mengutamakan kesihatan dan kecergasan, alam sekitar yang bersih, perkembangan sahsiah diri dan keadilan sosial.

Pada tahun 2006 sahaja anggaran pasaran untuk produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan LOHAS adalah bernilai USD300 billion. Berapa agaknya nilai pasaran untuk segmen LOHAS ini sekarang ya?

Antara barangan dan perkhidmatan yang berkaitang dengan LOHAS ialah:
  • Makanan organik
  • Barangan penjagaan diri organik
  • Kenderaan hybrid dan elektrik
  • Bangunan hijau
  • Peralatan efisen elektrik
  • Barangan dari sumber semula jadi
  • Perubatan alternatif


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...