Nuffnang Advertisement

Wednesday, September 26, 2012

Tetapkan Matlamat



Apabila anda serius untuk menurunkan berat badan, anda harus mempunyai target atau sasaran. Seperti juga apabila anda memandu kereta, anda harus mempunyai arah tuju. Anda tidak akan tiba ke destinasi jika anda tidak tahu arah tuju anda. Begitu juga apabila anda berniat untuk diet. Anda harus menetapkan matlamat anda, contohnya anda ingin menurunkan 5kg dalam tempoh 3 bulan. Antara matlamat lain yang boleh dijadikan sasaran seperti memakai seluar jeans bersaiz 30 dalam tempoh 3 bulan dari sekarang atau memakai baju kebaya ketat di majlis reunion sekolah anda (bagi wanita sahaja).

Menurunkan berat badan atau diet bukanlah kerja main-main, dimana rutin anda seperti yoyo. Ikut suka hati bila nak mengawal makan dan bila nak bersenam. Ia seharusnya dijadikan gaya hidup. Perubahan dalam tabiat semula jadi anda.

Pastikan sasaran anda jelas dan realistik. Janganlah terlampau menetapkan sasaran yang tinggi hingga terlalu sukar untuk digapai. Akibatnya anda juga yang kecewa dan anda balik semula ke habitat anda. Letak sasaran anda dalam bentuk visual atau gambar di tempat yang mudah untuk anda lihat. Buat beberapa salinan gambat matlamat anda. Tampalkan di cermin bilik air, di meja solek, dalam kereta, di atas meja kerja dan juga di dapur anda. Semakin kerap anda melihat matlamat ini nescaya anda di berada di landasan yang betul dalam proses mendapatkan bentuk badan yang dihajati.



ANDA SERIUS UNTUK MENGURANGKAN BERAT BADAN (DIET)?

Monday, September 10, 2012

Tanya Diri Anda Sebelum Makan

Setiap kali sebelum anda memasukkan sesuatu ke dalam mulut anda (makan), cuba tanya diri anda dahulu, adakah anda perlu makan makanan ini? Cuba fikirkan soalan yang sama sebelum anda mengambil coklat dari peti ais atau membuka sebungkus snek kentang yang lazat. Apa yang menyebabkan anda makan. Adakah kerana anda lapar atau sekadar hanya ingin mengunyah sesuatu.

Cuba jadikan ia satu amalan untuk menyoal diri anda sendiri. Adakah jawapannya memang memerlukan anda makan atau sekadar mengisi masa terluang. Saya pasti ada banyak lagi aktiviti mengisi masa lapang yang boleh dilakukan selain dari MAKAN.

Adakah anda mempunyai tabiat menguyah sesuatu apabila bosan, menonton tv atau ketika bergayut di telefon?



Tuesday, August 7, 2012

Pilih Apa Yang Anda Patut Makan


Badan kita memerlukan berbagai sumber seperti vitamin, protein dan mineral untuk berfungsi dengan sempurna. Sumber-sumber ini datangnya dari makanan dan minuman yang kita ambil. Apabila bercakap berkenaan penurunan berat badan atau diet, anda tidak seharusnya mengabaikan atau skip sebarang waktu makan, Apa yang harus anda lakukan ialah memilh jenis makanan yang betul dan hanya kuantiti yang diperlukan.

Sebagai contoh untuk makan tengahari anda harus pastikan hidangan anda mengandungi:

1. 30% sayur-sayuran hijau (seeloknya jenis dedaun).
2. 30% karbohidrat atau bijirin.
3. 20% buah-buahan.
4. 20% protein (ayam/ikan/daging)
5. segelas air (air kosong/susu segar)

Elakkan:

1. Sayur yang dimasak terlalu lama.
2. Makanan yang digoreng atau berkuah pekat
3. Kurangkan pengambilan kicap dan garam
4. Kurangkan gula dalam minuman



Friday, July 13, 2012

Kenali Makanan Anda


Sebelum anda memasukkan sebarang makanan (atau minuman) cuba anda berfikir sejenak, berapa kalori yang makanan ini akan mengembangkan berat anda. Cuba lihat betul-betul. Bagaimana cara makanan ini dimasak. Adakah ia digoreng sempurna dengan minyak kelapa sawit atau ia hanya direbus dengan air kosong sahaja. Adakah kuahnya pekat likat melekat dengan santan? Atau penuh berlemak dari air rebusan tulang lembu. Berapa banyak pula keju dan mayonis ditambah dalam burger bakar anda?

Secara amnya jumlah kalori yang diperlukan oleh seseorang manusia sihat ialah:

Lelaki : 2500 kalori
Wanita: 2000 kalori

Jadi jika anda berhajat untuk ber diet atau mengurangkan berat badan anda sasaran anda ialah untuk mengurangkan pengambilan kalori tersebut kepada:

Lelaki : 2000 kalori
Wanita : 1500 kalori

Ditambah dengan senaman tambahan setiap minggu yang akan membantu membakar lebih kalori. Insyallah dalam tempoh 3 bulan anda pasti mendapat bentuk badan yang anda idamkan.

Tetapi jangan pula anda mengurangkan pengambilan kalori secara melampau kerana badan anda mungkin akan mengaktifkan sistem starvation mode anda. Starvation mode akan merendahkan kadar metabolisma anda dan menyukarkan proses penurunan berat badan. Dan apabila anda mula makan ia juga akan lebih cepat membentuk kembali simpanan tetap.

Untuk mendapatkan kadar kalori yang bersesuai dengan faktor umur, jantina dan keadaan fizikal badan anda bolehlah mencuba Calorie Calculator.



Makanan - Kawan atau Musuh?


Makanan adalah rakan kita atau musuh dalam selimut?

Manusia memerlukan makanan (dan minuman) untuk hidup. Makanan memberi kita khasiat, vitamin dan mineral untuk proses menghasilkan tenaga. Tenaga ini diperlukan untuk melakukan segala aktiviti fizikal dan biologi dalam badan. Zat-zat dari makanan juga diperlukan dalam proses menghasilkan sel-sel baru dan membentuk sistem imunisasi. 

Kita haruslah mengambil makanan yang sesuai dengan tahap aktiviti fizikal kita. Sebagai contohnya orang yang bekerja berat seperti membuat bangunan dan mengangkat barang memerlukan makanan yang lebih dari orang yang bekerja pejabat (dan berhawa dingin). Tetapi ini tidak selalunya berlaku. Betul tak? 

Apabila badan kita mendapat jumlah input (makanan) yang lebih dari diperlukan maka ia disimpan sebagai fixed deposit. Lebihan dagangan inilah yang akan disimpan di perut, lengan, peha, leher dan bumper belakang. Lama kelamaan berat kita akan bertambah dan berlebihan dari yang sepatutnya.

Tak perlu saya bercerita panjang lebar kerana anda juga lebih arif tentang penyakit yang berkaitan dengan berat berlebihan dan kurang aktiviti fizikal. Sekadar menyebut beberapa nama: sakit jantung, strok, kencing manis dan darah tinggi. Ini semua penyakit orang terlebih makan. 

Jadi adakah anda masih menganggap makanan sebagai teman karib anda? Cer cerita..





Sunday, July 8, 2012

Metabolisma (Metabolism)


Apa itu metabolisma... Macam so saintifik aje bunyinya. Apa kena mengena metabolisma dengan diet. Macam mana metabolisma membantu mengurangkan berat badan? 

Metabolisma ialah segala aktiviti fizikal dan kimia yang berlaku dalam tubuh badan kita untuk kelansungan hidup. Proses metabolisma berfungsi untuk memecahkan segala nutrisi yang kita makan kepada tenaga dan membentuk molekul baru (seperti protein). Pada kadar yang efisen ia mampu membakar tenaga dengan efektif. Kadar metabolisma kita amat bergantung kepada: 

1. Umur - kadar metabolisma akan menurun apabila umur mula melebihi 30 tahun. 
2. Jantina - kadar metabolisma lelaki adalah lebih tinggi dari wanita. 
3. Otot - peratus otot yang tinggi memberi kadar metabolisma yang tinggi juga. 
4. Aktiviti - mereka yang aktif bersenam mempunyai kadar metabolisma yang tinggi. 

Metabolisma ini ibarat enjin kepada tubuh badan kita. Ia adalah mekanisma yang membakar kalori dalam usaha memberi tenaga kepada kita. Jika kita mengamalkan makan secara seimbang, diet rendah lemak dan melakukan senaman nescaya kadar metabolisma kita akan berfungsi dengan efisen. 

 Jadi, kunci utama dalam matlamat untuk mengurangkan berat badan ialah memastikan kadar metabolisma anda membakar lebih kalori dari kadar pengambilan kalori harian anda. Jika anda makan lebih kalori dari apa yang tubuh badan anda perlukan, lebihannya akan disimpan sebagai LEMAK. 

 Secara mudahnya, pastikan pengambilan kalori harian anda rendah dari kadar metabolisma anda dan lakukan senaman secara kerap untuk meningkatkan kadar metabolisma.


Thursday, May 24, 2012

Sarapan Untuk Program Diet

Sarapan merupakan salah waktu makan yang paling penting dalam sehari. Anda tidak seharusnya mengabaikan makan sarapan walaupun matlamat anda untuk mengurangkan berat badan. Walau sesibuk mana sekali pun, anda harus mengambil sarapan. Sarapan pagi akan memberi anda tenaga untuk memulakan hari anda, dan akan memastikan anda tidak makan berlebihan ketika makan tengahari. Cuba bayangkan jika anda skip sarapan dan hanya makan pada pukul 12.30 tengahari. Anda sudah menunaikan puasa lebih dari 16 jam (8 malam ke 12.30 tengahari).

Ingat, mereka yang mengabaikan makan sarapan pagi, berkemungkinan mempunyai selera makan yang besar semasa makan tengahari.

Dalam program mengurangkan berat badan saya sendiri melalui transformasi dalam memilih sarapan yang sesuai. Saya akui memang sukar pada awalnya, tetapi kini setelah 2 bulan ia sudah menjadi biasa. Sarapan standard rakyat Malaysia saya tolak tepi, contohnya seperti nasi lemak, roti canai, mee goreng dan sebagainya.

Saya gantikan dengan memilih sarapan yang kurang lemak, kurang berminyak dan tinggi fiber. Anda juga boleh memilih sarapan yang sesuai dengan matlamat mengurangkan berat badan anda.

1. Gardenia Wholemeal Bread
2. Nestle Fitnesse Cereal
3. Quacker Oatmeal
4. Kellogg's Cereal Bar
5. Nestle Nesvita Omega Plus
6. Marigold HL Low Fat Milk
Anda sebenarnya masih boleh makan sarapan standard rakyat Malaysia, tapi cuba hadkan kepada satu (1) hidangan sahaja seminggu dan pastikan dalam jumlah yang kecil.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...