Nuffnang Advertisement

Saturday, October 20, 2012

Timbang Berat Anda


Ramai yang ingin menurunkan berat (diet) tapi takut untuk berhadapan dengan penimbang. Jangan khuatir, mesin yang ada dipasaran sekarang belum lagi ada yang boleh dihubungkan terus ke Facebook. Rahsia berat anda hanyalah antara anda dan mesin itu. 

Dicadangkan anda merekodkan carta berat badan anda di dalam diari makanan setiap minggu. Tak perlu dilakukan setiap hari, cukup sekadar seminggu sekali sahaja.

Catatkan berat pada hari ini dan berat yang anda ingin capai (matlamat) selepas satu bulan. Biar realistik dari segi kemampuan dan faktor kesihatan. Catatan anda ini akan menjadi panduan anda sama ada segala usaha anda dijalan yang benar atau tidak.

Mulalah jadikan penimbang sebagai teman baik anda sepanjang program diet anda.


ANDA SERIUS UNTUK MENGURANGKAN BERAT BADAN (DIET)?

Thursday, October 18, 2012

Minum Lebih Air (Jika Anda Serius Berdiet)


Minum air kosong dan bukan kopi, teh atau milo. Jangan sesekali ambil minuman berkarbonat atau ice blended. Standard air kosong yang perlu diambil sehari ialah 8 gelas atau lebih kurang 2 liter. Dan percayalah, minum banyak air kosong membantu anda mengurangkan berat badan.

Air membantu meningkatkan kadar metabolisma yang akan membakar lebih kalori. Ia juga membantu buah pinggang menyingkirkan bahan yang tidak perlu semasa anda berusaha menurunkan berat badan.

Air kosong juga menyebabkan anda cepat berasa kenyang. Jadi apabila anda terasa untuk mengambil coklat atau donat, apakata anda minum segelas air kosong dahulu. Dan fikirkan kembali adakah perlu anda memenuhi nafsu makan anda ketika itu.


ANDA SERIUS UNTUK MENGURANGKAN BERAT BADAN (DIET)?

Friday, October 12, 2012

Pilih Makanan Anda, Kualiti Bukan Kuantiti


Dalam mengejar impian anda untuk mengurangkan berat badan (diet) anda pastinya sukar melawan nafsu makan anda. Perut dan minda memberontak apabila tiba-tiba bekalan makanan dicatu. Sel-sel tubuh mula mengaktifkan sistem pertahanan. Apabila anda makan ianya cepat-cepat ditukarkan kepada simpanan, takut-takut kalau catuan bermula lagi.

Anda juga disarankan oleh pakar-pakar untuk tidak meninggalkan (skip) sebarang waktu makan terutamanya waktu makan utama. Jadi macam mana nak diet kalau asyik makan sahaja. 

Jawapannya ialah guna akal (dan internet). Pilih makanan yang kurang berlemak. Pilih cara masakannya. Elakkan makanan bergoreng. Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Kurangkan (elakkan) gula dan garam berlebihan. Jika anda makan diluar pilih juga restoran yang menyajikan makanan yang sesuai dengan matlamat anda.


ANDA SERIUS UNTUK MENGURANGKAN BERAT BADAN (DIET)?

Sunday, October 7, 2012

Pilih Panggang & Bukan Goreng


Cara anda memasak juga mempengaruhi kejayaan anda mengurangkan berat badan. Kebiasaannya kita biasa dengan cara menggoreng makanan. Contoh makanan bergoreng seperti ayam goreng, ikan goreng, sotong goreng, pisang goreng dan mee goreng. Penyebab utama menggoreng boleh menaikkan berat badan ialah minyak. Satu sudu besar minyak masak mengandungi purata 120 kalori. Jadi jika anda memasak menggunakan 5 sudu besar minyak sehari, itu memberi tambahan 600 kalori.

Jadi beralihlah kepada cara memasak dengan memanggang atau grill. Ia mungkin sedikit berbeza dengan cara anda sebelum ini, tapi lama kelamaan anda mungkin juga menggemarinya. Tambahkan sedikit kreativiti dalam memilih bahan untuk dipanggang. Bukan sahaja ayam atau ikan, anda juga boleh memanggang sayur-sayuran dan buah-buahan. Jika anda tidak mahu makanan anda melekat pada kuali, gunakan non-stick pan atau alas dengan aluminium foil/daun pisang.


ANDA SERIUS UNTUK MENGURANGKAN BERAT BADAN (DIET)?

Friday, September 28, 2012

Makanan Tinggi Serat (High in Fiber)

Makanan tinggi serat mengenyangkan. Ia membantu mengurangkan rasa lapar dengan cepat. Jadi jika anda tukarkan roti biasa ke roti tinggi kandungan serat anda akan lebih cepat kenyang dan berhenti makan lebih awal.


Antara makanan yang mempunyai kandungan serat yang tinggi ialah:

1) Jagung
2) Kekacang
3) Avocado
4) Beras perang
5) Edamame
6) Buah-buahan
7) Sayur-sayuran hijau
8) Oat
9) Beras barli
10) Anda juga boleh makan roti atau pasta tinggi serat.


ANDA SERIUS UNTUK MENGURANGKAN BERAT BADAN (DIET)?

Wednesday, September 26, 2012

Tetapkan Matlamat



Apabila anda serius untuk menurunkan berat badan, anda harus mempunyai target atau sasaran. Seperti juga apabila anda memandu kereta, anda harus mempunyai arah tuju. Anda tidak akan tiba ke destinasi jika anda tidak tahu arah tuju anda. Begitu juga apabila anda berniat untuk diet. Anda harus menetapkan matlamat anda, contohnya anda ingin menurunkan 5kg dalam tempoh 3 bulan. Antara matlamat lain yang boleh dijadikan sasaran seperti memakai seluar jeans bersaiz 30 dalam tempoh 3 bulan dari sekarang atau memakai baju kebaya ketat di majlis reunion sekolah anda (bagi wanita sahaja).

Menurunkan berat badan atau diet bukanlah kerja main-main, dimana rutin anda seperti yoyo. Ikut suka hati bila nak mengawal makan dan bila nak bersenam. Ia seharusnya dijadikan gaya hidup. Perubahan dalam tabiat semula jadi anda.

Pastikan sasaran anda jelas dan realistik. Janganlah terlampau menetapkan sasaran yang tinggi hingga terlalu sukar untuk digapai. Akibatnya anda juga yang kecewa dan anda balik semula ke habitat anda. Letak sasaran anda dalam bentuk visual atau gambar di tempat yang mudah untuk anda lihat. Buat beberapa salinan gambat matlamat anda. Tampalkan di cermin bilik air, di meja solek, dalam kereta, di atas meja kerja dan juga di dapur anda. Semakin kerap anda melihat matlamat ini nescaya anda di berada di landasan yang betul dalam proses mendapatkan bentuk badan yang dihajati.



ANDA SERIUS UNTUK MENGURANGKAN BERAT BADAN (DIET)?

Monday, September 10, 2012

Tanya Diri Anda Sebelum Makan

Setiap kali sebelum anda memasukkan sesuatu ke dalam mulut anda (makan), cuba tanya diri anda dahulu, adakah anda perlu makan makanan ini? Cuba fikirkan soalan yang sama sebelum anda mengambil coklat dari peti ais atau membuka sebungkus snek kentang yang lazat. Apa yang menyebabkan anda makan. Adakah kerana anda lapar atau sekadar hanya ingin mengunyah sesuatu.

Cuba jadikan ia satu amalan untuk menyoal diri anda sendiri. Adakah jawapannya memang memerlukan anda makan atau sekadar mengisi masa terluang. Saya pasti ada banyak lagi aktiviti mengisi masa lapang yang boleh dilakukan selain dari MAKAN.

Adakah anda mempunyai tabiat menguyah sesuatu apabila bosan, menonton tv atau ketika bergayut di telefon?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...